
Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman saya sebelum ini iaitu bagaimana cara mengisi borang pusaka kecil online yang dilakukan selepas kematian ibu saya.
Semua orang akan merasai mati dan juga semua orang akan merasai kehilangan dengan matinya orang orang terdekat dengan mereka seperti ahli keluarga, ibu bapa dan sebagainya.
Apabila mereka meninggal jika mereka ada harta pusaka yang ditinggalkan maka wajiblah bagi waris contohnya jika ada anak anak, hendaklah sebolehnya segera membahagikan harta peninggalan mereka kepada waris yang selayaknya.
Zaman sekarang dah canggih sebab kerajaan dah sediakan satu sistem untuk rakyat Malaysia supaya mudah mereka melakukan pembahagian harta pusaka untuk waris waris simati.
Anda sebenarnya boleh lakukan sendiri permohonan pusaka kecil online ini namun jika anda rasa renyah atau tak sempat nak buat anda boleh melantik konsultan untuk buatkan kepada anda cuma siapkan duit untuk bayar sahaja.
Macam saya, saya buat sendiri tapi banyak try and error juga lah daripada mula sehinggalah selesai tukar nama semua dalam geran.
Pembahagian Harta Pusaka Adik Beradik
Apa perlu buat sebelum isi permohonan harta pusaka secara online?
Pembahagian harta pusaka ayah meninggal atau emak meninggal perlu diuruskan dengan kata sepakat dikalangan adik beradik kita.
Perkara paling utama anda nak kena tahu sebelum isi borang permohonan secara online adalah mendapatkan senarai siapa waris yang masih boleh layak mendapat harta pusaka si mati.
Untuk mendapatkan maklumat ini anda hanya perlu ke kaunter Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian bahagian Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang tedapat di setiap negeri di Malaysia.
Penting perkara ini supaya kita kena tahu siapa yang masih boleh dapat harta simati supaya mudah nanti nak isi borang permohonan online.
Pergi ke kaunter dan tanya bagaimana nak isi permohonan pusaka online dan siapa waris yang masih hidup yang boleh dapat harta pusaka simati.
Pekerja di kaunter pusaka kecil ini akan bantu anda terangkan siapa yang layak dapat dan bagaimana prosuder nak buat permohonan secara online.
Anda perlu tulis senarai waris waris yang masih boleh dapat harta pusaka dalam kalangan keluarga anda supaya nanti tidak lupa.
Mereka akan berikan juga beberapa dokumen apa yang perlu disediakan dan syarat syarat yang anda perlu patuhi sebelum boleh buat permohonan online.
Langkah Langkah Mengisi Borang Pusaka Kecil Online
Daftar Sebagai Pengguna Online MYETAPP
Saya cuba ringkaskan penerengan sebaik mungkin supaya anda mudah faham.
Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah mendaftar secara online sebagai pengguna di laman website https://www.myetapp.gov.my/ .
Di situ juga disediakan manual pendaftaran jika anda ingin baca anda boleh download dari situ.
Pilih butang “Pengguna Awam” dan isi maklumat yang diminta untuk daftar sebagai pengguna di portal online ini.
Dah siap daftar sila semak email anda. Jika sudah selesai simpan maklumat Id Pengguna dan juga Password anda supaya nanti takut takut terlupa password.
Login Masuk Ke Portal
Kalau dah selesai semua pendaftaran seterusnya anda dah boleh masuk ke tempat untuk mengisi borang pusaka kecil secara online.
Klik “Pengguna Awam” > Klik “Log Masuk” dan isi Myid/MycoID dan Password untuk masuk ke sistem.

Anda akan dibawa kepada paparan seperti di atas. Pertama sekali anda boleh isi pada bahagian Profile terlebih dahulu atau kemaskini jika ada sebarang perubahan sebab tadi masa daftar dah isikan.
Isi Permohonan Baru
Seterusnya anda lihat pada bahagian “Pusaka Kecil” pada bahagian Permohonan Baru(Seksyen 8) Klik situ untuk masuk kepada bahagian untuk mulakan isian.
Seterunya sistem akan tanya dahulu “Sila pastikan anda mempunyai harta tak alih. Sekiranya tiada, permohonan tidak dapat diteruskan”.
Untuk makluman anda jika ingin membuat permohonan melalui sistem ini si mati hendaklah mempunyai hartanah bergeran sekurang kurangnya 1 bagi membolehkan anda menggunakan perkhidmatan ini.
Jika simati tiada tanah atau rumah memang tak boleh gunakan perkhidmatan ini. Pilihan lain adalah dengan membuat permohonan di Amanah Raya Berhad jika tiada harta tak alih.
Harta Tak Alih = Rumah, Tanah
Harta Alih = wang tunai, saham, kenderaan, carumah KWSP/Insuran
Seterusnya klik pada bahagian “Harta Tak Alih”
Pada paparan ada 2 bahagian yang kena isi.
- Bahagian Maklumat Pemohon
- Bahagian Maklumat Simati
Jika anda baru nak mula isi sistem akan tunjukkan paparan borang apa yang perlu untuk di isi step by step sehinggalah anda selesai dan boleh cetak borang A.
Disini ditunjukkan berapa bahagian yang anda perlu isi. Hanya perlu isi bahagian yang berkenaan sahaja.

UNIT | BAHAGIAN MAKLUMAT YANG PERLU DI ISI |
1 | SIMATI |
2 | PEMOHON |
3 | WARIS |
4 | HARTA ALIH |
5 | HARTA TAK ALIH |
6 | ORANG BERKEPENTINGAN |
7 | SAKSI |
8 | PEMIUTANG |
9 | PENGHUTANG |
10 | PENGESAHAN PERMOHONAN |
11 | PERTUKARAN PERMOHONAN |
Saya hanya isi bahagian 1 hingga 5 sahaja seperti di dalam senarai di atas iaitu :
- 1. SIMATI
- 2. PEMOHON
- 3. WARIS
- 4. HARTA ALIH
- 5. HARTA TAK ALIH
Setelah anda selesai isi semua borang pada bahagian bahagian tersebut maka kita akan ke step seterusnya iaitu pada Bahagian Pengesahan permohonan.
Pengesahan Permohonan
D sini anda akan diminta untuk sahkan maklumat yang anda isi adalah benar. Selepas dah sahkan anda boleh download dan print 2 surat iaitu:
- 1. Surat Pengesahan Permohonan
- 2. Borang A
Surat Pengesahan Permohonan
Didalam surat ini terdapat maklumat yang telah anda ini:
- Nama pemohon
- Nombor Kad Pengenalan Pemohon
- Tempat Permohonan Yang Anda Mohon Pusaka
- Nombor Telefon
- Tarikh Mohon
- Nombor Rujukan Online
Perhatian : 1. Sila kemukakan permohonan anda ke alamat seperti di atas dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan.
Kegagalan anda mengemukakan Borang A dan Salinan Dokumen Sokongan membolehkan permohonan anda dibatalkan.
Didalam surat pengesahan ini juga dilampirkan SENARAI SEMAK PERMOHONAN PETISYEN DI BAWAH
SEKSYEN 8 (BORANG A) AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN)1955 [AKTA 98].
Senarai semak ini adalah senarai dokumen dokumen yang anda perlu lampirkan ketika anda hantar permohonan nanti di pejabat pusaka kecil cawangan berhampiran.

Pastikan anda sediakan semua dokumen yang diperlukan sebelum anda hantar kepejabat mereka.
Buat Akuan Bersumpah BORANG A
Didalam BORANG A adalah terdapat semua maklumat yang anda telah isi mengikut bahagian bahagian yang ada yang perlu di isi sebelum ini.
Borang A ini merupakan satu PETISYEN DI BAWAH SEKSYEN 8 bagi menuntut semua kepentingan simati untuk diwarisi kepada waris waris yang layak.
Semua maklumat dan detail ada di dalam borang ini dan di muka surat akhir sekali anda kena buat akuan bersumpah dengan mana mana Pesuruhjaya Sumpah Berdaftar berhampiran anda.

Saya buat di Mahkamah Negeri, di situ ada disediakan khidmat pesuruh jaya sumpah. Kena bayar jika menggunakan khidmat pesuruhjaya sumpah ini dalam beberapa ringgit sahaja 1 dokumen.
Caj akuan sumpah yang saya bayar adalah RM 4 satu dokumen.
Kalau banyak dokumen kena buat pengesahan maka lagi banyak la kena bayar.
Hantar Permohonan Ke Pejabat Pusaka Kecil
Ok kalau dah sampai step ini maka anda dah siap untuk hantar ke pejabat pusaka kecil berhampiran.
Sebelum nak hantar permohona pembahagian pusaka ini pastikan anda semak semua dokumen dengan cukup lengkap supaya tidak ada masalah masa hadapan.
Pastikan anda dah siap BORANG A dengan pengesahan akuan pesuruhjaya sumpah dan semua dokumen senarai semak yang diperlukan anda dah sediakan.
Dah siap semua tu maka dah boleh hantar permohonan dengan walk in kepejabat pusaka kecil berdekatan.
Anda kena hantar permohonan ini dalam tempoh 21 hari selepas selesai buat permohonan secara online.
Pastikan anda buat salinan semua dokumen yang anda hantar, photosat dokumen tersebut untuk rujukan anda.
Jika ada harta alih yang anda terlupa atau tertinggal tidak isi dalam sistem semasa permohonan maka jangan risau, anda boleh taip dalam words, print kemudian cop dengan pesuruhjaya sumpah.
Saya juga ketika itu terlupa untuk isi wang tunai di dalam bank simati, maka saya terpaksa buat 1 lampiran baru dan hantar bersama sama permohonan tersebut.
Contoh untuk buat harta alih yang tidak di isi dalam sistem sebagai Lampiran, anda boleh tengok contoh dibawah macam mana saya buat.

Buat satu lampiran dan senaraikan semua harta alih yang masih ada yang anda terlupa isi dalam sistem.
Semasa anda harta permohonan ke pejabat, selepas mereka semak dan semua ok, maka pihak pejabat pusaka kecil akan keluarkan satu surat iaitu surat Akuan Terima Petisyen Di Bawah Syeksen 8.
Tunggu Tarikh Perbicaraan
Tarikh pembicaraan akan dimaklumkan kepada waris selepas proses permohonan selesai di proses.
Borang D akan dikeluarkan memaklumkan bila tarikh perbicaraan akan dialaukan.
Bersama sama Borang D ini juga dilampirkan “Panduan Menghadiri Perbicaraan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995.
Antara kandungan surat ini secara ringkasnya adalah:
- Anda di minta untuk berbincang siap siap dengan semua waris sama ada nak bahagi harta ikut secara faraid atau secara perbincangan yang telah ditetapkan oleh anda semua.
- Pada hari perbicaraan pemohon adalah wajib memastikan dokumen dokumen asal mestilah di bawa bersama pada hari tersebut.
- Sijil kematian simati/waris
- Kad pengenalan atau surat beranak semua waris
- Hendaklah memaklumkan kepada semua waris kena hadir pada hari perbicaraan
- Jika waris tidak dapat hadir masa hari perbicaraan maka boleh waris mengemukakan Surat Persetujuan (BORANG DDA). Boleh muat turun di portal . Borang ini hendaklah di sign depan pesuruhjaya sumpah dan mendapat pengesahan daripada mereka.
- Jumlah bayaran yang akan dikenakan juga disertakan dalam surat ini dan perlu dibayar semasa selesai perbicaraan.
- Semua details lain ada dalam surat tersebut adan boleh baca dan rujuk dengan lebih lengkap di situ nanti.
Hadir Perbicaraan
Apabila dah dapat tarikh sampai masa nya untuk anda dan semua waris terlibat hadir ke pejabat pusaka kecil untuk perbicaraan.
Perbicaraan yang dijalankan akan jadi mudah jika semua waris sudah berbincang dan bersetuju denga kaedah pembahagian harta pusaka.
Perbicaraan ini hanya untuk proceed sahaja.
Buat Bayaran Permohonan Pusaka Kecil
Lepas dah selesai perbicaraan kena buat bayaran di kaunter.
Bayaran perintah berdasarkan nilaian terkini harta simati (seperti senarai harta simati di Borang Permohonan- Borang A Seksyen 8 Akta). Jika nilaian keseluruhan harta simati:
NILAIAN HARTA | JUMLAH BAYARAN |
RM1.00 hingga RM1,000.00 | RM 10 |
RM1,001 hingga RM50,000 | RM 30 |
RM50,001 dan ke atas | 0.2% dari nilaian harta si mati |
Dibayar pada selepas selesai hari pembicaraan.
Hartanah akan dibuat penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri.
Tempoh keseluruhan saya proses semua urusan permohonan pusaka ini dalam 8 bulan macam tu. Mungkin ada kes yang cepat mungkin ada yang lambat.
Apa yang anda perlu lakukan adalah sentiasa folow up dengan pejabat pusaka kecil yang anda hantar permohonan tersebut.
Tarikh saya hantar permohonan di kaunter Pejabat Pusaka Kecil Oktober 2019
Tarikh perbicaraan (Borang D) Februari 2020
Mei 2020 saya dapat surat Perintah Pembahagian / Surat Kuasa Pentadbiran
Hantar Surat Kuasa Pentadbiran Kepada Pihak Terlibat
Apabila surat Perintah Pembahagian/ Surat Kuasa Pentadbiran dikeluarkan ini bermakna proses permohonan pusaka kecil anda telah selesai sepenuhnya.
Anda akan diberikan salinan asal Perintah Pembahagian mengikut keputusan yang dipersetujui pada hari pembicaraan.
- Kemukan Surat Perintah ini beserta geran asal untuk urusan pendaftaran tukar nama di pejabat tanah.
- Bagi harta alih kemukan Surat Perintah ini kepada agensi yang berkaitan. Jika melibatkan bank bawa ke pada bank.
- Pemohon juga akan diberikan satu salinan Surat Perintah (Borang E) untuk simpanan pemohon.
Berapa lama proses tukar nama geran tanah?
Untuk tukar tukar nama geran tanah si mati, saya buat serahan dan permohonan ke Pejabat Tanah Negeri.
Dalam tempoh 2 minggu geran tanah baru siap dan boleh diambil. Seperti tertera didalam resit simpanan saya.
Semua urusan dikaunter sahaja pada pengalaman saya dan melalui call.
Semua proses ini anda kena selesaikan sehingga selesai semua sampai nama ditukar dalam geran daripada nama simati kepada nama waris waris.
Manakala urusan wang tunai di bank, selepas permohonan serahan dilakukan pihak bank akan pindahkan duit simati kepada penama (penama adalah waris yang dipersetujui semasa hari perbicaraan).
Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik pembahagian harta pusaka kami sekeluarga. Begitulah serba sedikit cara mengisi borang pusaka kecil online yang boleh anda ambil maklumat secara asas.
Saya cuba sedaya upaya untuk memberikan maklumat terbaik berdasarkan pengalama saya sahaja, untuk maklumat yang lebih lengkap dan terperinci anda kena ke kaunter untuk bertanya.
Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda semua.
Senarai Pejabat Pusaka Kecil Setiap Negeri
Pejabat pusaka kecil terletak di bawah Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) JKPTG setiap negeri.
JOHOR | Aras 3, Bangunan KWSP Jalan Dato’ Dalam Johor Bahru Johor 80000 Tel: 03-8871 2999 |
KEDAH | Aras 3, Blok A, Bangunan Wisma Persekutuan Bandar Muazam Shah Kedah 06550 Tel: 04-7001624 / 04-7001630 |
KELANTAN | Bandar Baru Tunjong Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas Kota Bahru Kelantan 15050 Tel: 09-7482686 |
MELAKA | Aras 11, Menara Persekutuan, Jalan Persekutuan Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh Ayer Keroh Melaka 75450 Tel: 06-2345506 |
NEGERI SEMBILAN | Tingkat Bawah, Wisma Persekutuan Jalan Dato’ Abdul Kadir Seremban Negeri Sembilan 70000 Tel: 06-7613939 |
PAHANG | Bangunan JKPTG Bandar Indera Mahkota Kuantan Pahang 25990 Tel: 09-5712800 |
PERAK | Tingkat 4, Bangunan KWSP Jalan Greentown Ipoh Perak 30450 Tel: 05-2555260 |
PERLIS | Tingkat 7, Bangunan Persekutuan Kangar Persiaran Jubli Emas Kangar Perlis 01000 Tel: 04-9764713 |
PULAU PINANG | Aras 5, Anjung A & B, Wisma Persekutuan Seberang Perai Utara Kepala Batas 13200 Tel: 04-5757566 |
SELANGOR | Persiaran Bukit Raja 1 / KU 1 Bandar Baru Klang Selangor 41150 Tel: 03-33414194 |
TERENGGANU | Unit 27.01-05, Kuala Terengganu Business Centre ( KTBC ) Jalan Sultan Mohamad Kuala Terengganu Terengganu 21100 Tel: 09-6223099 |
KUALA LUMPUR | Tingkat 2, Wisma JUPEM Jalan Sultan Yahya Petra 54000 Kuala Lumpur Tel. No: 03-2610 2114 |
SABAH | Tingkat 2, Rumah Persekutuan WDT 3408 Kota Kinabalu Sabah 88903 Tel: 088-211122 |
SARAWAK | Aras 1, Sublot 6, Queen’s, Blok E Jalan Wan Alwi Kuching Sarawak 93350 Tel: 082-575404 / 571402 |
JIka mempunyai tanah geran kongsi, anda boleh buat urusan pusaka untuk penama yang anda perlukan sahaja tanpa ganggu hak hak penama yang lain.
Anda boleh terus buat permohonan selepas mendapat sijil kematian pemilik hartanah tersebut tanpa perlu tunggu lama.